4. Akidah Terbukti Kesahihannya
Akidah Islam – terbukti kebenaran dan kesahihannya. Walau bagaimanapun, Islam tidak menekankan kepentingan pengikutnya percaya kepada ajaran semata-mata, tetapi menekankan kepentingan memahami ajarannya berdasarkan dalil-dalil kebenaran prinsip akidah. Islam menolak pegangan iktikad berdasarkan al-zann (sangkaan).
Akidah Islam terhimpun dari keyakinan kepada rukun-rukun iman yang enam dan ia saling berhubung antara satu sama lain. Keyakinan kepada para Rasul a.s berkaitan dengan akidah. Para Rasul a.s menyampaikan akidah yang sebenar kepada manusia melalui bimbingan wahyu dari Allah s.w.t dan melalui penyampaian tersebut manusia dapat menerima dan memahami secara yakin pegangan akidah yang dianuti.
Dalam hal ini, ulama mengatakan adalah mustahil secara logiknya untuk kita menafikan peranan para Rasul a.s sebagai penyampai perkhabaran yang sahih tentang akidah Islam _ kerana manusia tidak mampu mengetahui secara hakiki ilmu tentang ketuhanan dan hal-hal yang berkaitan dengannya berlandaskan akal dan ilmu yang dimiliki. Pengetahuan yang benar tidak mampu dicapai hanya melalui pemikiran manusia yang bersifat sangkaan dan tekaan semata-mata yang tidak mampu membawa kepada ilmu yang bersifat yakin serta tidak mampu dibersihkan dari kesalahan, Al-Najm: 28. Perkhabaran ini hanya boleh didapati dari ajaran yang disampaikan oleh para Rasul yang mulia.
Menurut Yusuf al-Qaradhawi ~ pemberian hidayah Allah s.w.t kepada manusia melalui wahyuNya merupakan tingkat hidayah tertinggi yang dikurniakan oleh Allah s.w.t kepada manusia yang terpilih. Tingkat kedua : pancaindera seperti pendengaran, penglihatan, sentuhan dan bau. Ketiga : akal yang membezakan mana yang benar dan mana yang salah. Tingkat keempat : jalan wahyu yang membetulkan kesalahan akal, menafikan segala sangkaan pancaindera, membentuk jalan yang mana akal tidak mampu sampai kepadanya secara sendirian dan mengangkat perselisihan menjadi persepakatan dalam perkara-perkara yang akal tidak mampu bersetuju dalam perkara tersebut.
Sumber : Asas Akidah I, Modul I, Usuluddin, 2010
No comments:
Post a Comment